#MasyarakatPerluTahu

[Tidak Boleh Mengkhususkan Ibadat Pada Waktu Tertentu?]

Persoalan berkenaan majlis bacaan Yasīn pada malam hari Juma’at itu bid’ah berulang kembali. Hal ini kerana kita tidak melihat neraca syarak dengan kaca mata syarak sendiri.

Ini adalah bebenang...
Sebelum kita pergi lebih jauh, perlu kita meletakkan titik perselisihan tentang permasalahan ini iaitu sesuatu ibadat itu bersifat tawqifī dan tidak boleh dikhususkan ibadat pada waktu tertentu. Tetapi persoalannya adakah benar kenyataan ini?
Atau ia hanya menyentuh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain. Di sini saya mengatakan bahawasanya ibadat menurut syarak itu ada dua bahagian:

1. Ibadat yang telah ditentukan waktunya seperti solat 5 waktu, puasa di bulan Ramaḍān, solat-sunat yang telah ditentukan waktunya
semisal solat Ḍuhā, haji dan lain2. Ibadat ini perlu dilakukan pada waktunya dan tidak boleh dilakukan pada waktu sebelumnya atau selepas. Jika dilakukan sebelumnya, maka ianya tidak sah sebab syarat tidak mencukupi. Jika dilakukan selepasnya sudah tidak dikira sebagai tunai.
2.Ibadat yang tidak ditentukan waktu seperti membaca al-Quran, zikir, doa, solat sunat mutlak, dan lain-lain.

Pada bahagian kedua inilah yang menjadi pertikaian sama ada boleh atau tidak melakukan sesuatu dengan masa yang khusus.
Mari kita lihat pendapat ulama yang membolehkan mengkhususkan ibadat pada waktu tertentu:

1.Hadīth Nabi SAW berkenaan baginda menziarahi Masjid Qubā pada setiap hari Sabtu:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يأتي مسجد قباء كل سبت ماشيا وراكبا ، وكان عبد الله رضي الله عنه يفعله
Terjemahan: Nabi SAW datang ke masjid Qubā setiap hari sabtu dalam keadaan berjalan dan menunggang. ‘Abd Allāh bin ‘Umar RA juga berbuat demikian. (HR Bukhari, No. 1193).

Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī menjelaskan hadith ini dengan berkata:
وفي هذا الحديث على اختلاف طرقه دلالة على جواز تخصيص بعض الأيام ببعض الأعمال الصالحة والمداومة على ذلك.

Terjemahan: Hadith ini yang mempunyai banyak jalur yang berbeza menunjukkan bahawa harus mengkhususkan sebahagian hari dengan...
...sebahagian amal ṣālih dan berterusan melakukannya. (Fatḥ al-Bārī, 3: 69)

2. Hadīth yang diriwayatkan oleh Abī Hurayrah RA berkenaan solat wuduk Bilāl bin Rabāh RA:
عن أبي هريرة رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لبلال عند صلاة الفجر: يا بلال ،
حدثني بأرجى عمل عملته في الإسلام ، فإني سمعت دف نعليك بين يدي في الجنة". قال: ما عملت عملا أرجى عندي: أني لم أتطهر طهورا في ساعة ليل أو نهار ، إلا صليت بذلك الطهور ما كتب لي أن أصلي.

Terjemahan: Daripada Abū Hurayrah RA bahawa Nabi SAW telah bertanya kepada Bilal
ketika solat Fajr (Subuh): “Wahai Bilal, ceritakanlah kepada aku kebaikan yang paling engkau harapkan pahalanya yang telah kau amalkan dalam Islam. Hal ini kerana, aku mendengar suara kedua sandalmu di syurga”. Jawab Bilal: “Aku tidak pernah berharap pahala suatu amalan pun...
...melainkan aku tidak pernah berwuduk siang ataupun malam kecuali aku solat sunat sunat dua rakaat dengan wuduk yang telah aku sendiri tentukan waktunya”. (HR Bukhari, no. 1149).

Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan hadith ini dengan berkata:
ويستفاد منه جواز الاجتهاد في توقيت العبادة لأن بلالا توصل إلى ما ذكرنا بالاستنباط فصوبه النبي صلى الله عليه وسلم
Terjemahan: Daripada hadith tersebut, dapatlah di ambil faedah tentang harus untuk berijtihad dalam menetapkan waktu ibadah. Hal ini disebabkan,
Bilal telah mencapai darjat yang telah disebutkan berdasarkan istinbat (ijtihad) lalu Nabi SAW membenarkannya. (Fath al-Bārī, 3: 34).

Pasti ada yang mengatakan, amalan yang disebutkan ini masih lagi wahyu dan ianya hadith Nabi dari sudut al-Taqrīr (pengakuan) baginda Nabi SAW.
Tetapi jika kita telusuri lebih mendalam kita akan dapati bahawa terdapat Sahabat Nabi SAW dan juga ulama generasi salaf melakukan sesuatu amalan yang dikhususkan dibawah lembayung syariat yang umum. Contohnya:
1.Abū Hurayrah RA telah mengamalkan tasbih sebanyak 12 000 kali pada setiap malam:
كان ‌أبو ‌هريرة ‌يسبح ‌كل ‌ليلة ثنتي عشرة ألف تسبيحة
Terjemahan: Abū Hurayrah telah bertasbiḥ sebanyak 12 000 kali pada setiap malam. (al-Bidāyah Wa al-Nihāyah, 8: 118)
2.Abu Hurayrah RA juga telah membahagikan masanya kepada 3 bahagian. 1 bahagian untuk membaca al-Quran, satu bahagian untuk tidur dan satu bahagian untuk mengingati hadith baginda SAW.
إني أجزئ الليل ثلاثة أجزاء فجزءا لقراءة القرآن، وجزءا أنام فيه، وجزءا أتذكر فيه حديث رسول الله
Terjemahan: Sesungguhnya aku (Abū Hurayrah RA) telah membahagikan malam kepada 3 bahagian. 1 bahagian untuk membaca al-Qurān, 1 bahagian lagi untuk aku tidur dan 1 bahagian lagi untuk mengulang ingatan tentang hadith-hadīth baginda SAW. (al-Bidāyah Wa al-Nihāyah, 8: 118)
3.Kisah Imam Malik yang membersihkan diri dahulu dan berwuduk sebelum meriwayatkan hadith-hadith baginda SAW. Berwuduk itu adalah satu ibadat dan Imam Malik mengkhususkannya sebelum meriwayatkan hadith.
4.Kisah Imam Bukhari yang membersihkan diri dahulu, berwuduk dan solat dua rakaat sebelum menulis satu hadith di dalamnya. Imam Bukhari juga telah mengkhususkan Ibadat (wuduk dan solat) pada waktu tertentu iaitu waktu mahu menulis hadith.
Manakala, ibadat pada kategori yang pertama yang berbentuk tawqīfī iaitu tidak boleh ditambah dan ditolak, misalnya telah sabit bahawa solat Zuhur itu 4 rakaat. Kita tak boleh kurangkannya kepada 3 rakaat dan menambahnya kepada 5 rakaat.
Berkenaan bacaan Surah Yasīn malam Juma’at, ianya mempunyai asal walaupunnya asalnya adalah Dha’īf iaitu hadith yang direkodkan oleh al-Bayhaqī di dalam Shu’ab al-Īmān dan al-Mundhirī di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb. Ianya dihukum Dha’if sendiri oleh al-Bayhaqī:
‌من ‌قرأ ‌ليلة ‌الجمعة حم الدخان ويس أصبح مغفورا له
Terjemahan: Sesiapa yang membaca di malam Juma’at Surah al-Dukhan dan Surah Yasīn, maka dia telah diampunkan dosa-dosanya”. (HR al-Bayhaqī dalam Shu’ab al-Īmān, no. 2248, status: Dha’īf).
‌من ‌قرأ ‌سورة ‌يس في ليلة الجمعة غفر له
Terjemahan: Sesiapa yang membaca Surah Yasīn pada malam Juma’at maka dirinya akan diampunkan. (HR al-Mundhirī dalam al-Tarhīb wa al-Targhīb, no. 948)
Manakala Ibn Hibban telah meletakkan hadith membaca surah Yasīn dalam kitabnya al-Ṣahīh walaupun tiada lafaz pengkhususan malam Jumaat seperti yang direkodkan oleh al-Bayhaqi dan al-Mundhiri.
‌من ‌قرأ ‌يس في ليلة ابتغاء وجه الله غفر له
Terjemahan: Sesiapa yang membaca Surah Yasīn pada suatu malam dengan mengharapkan kereḍaan Allah maka dia diampunkan oleh-Nya. (HR Ibn Hibban, no. 2578)
Jadi sekiranya kita mengambil perkara lafaz “suatu malam” dan kita khususkan dengan adat masyarakat melayu kita iaitu hari Juma’at bertepatan dengan lafaz yang direkodkan oleh hadith yang berstatuskan Dha’if maka itu adalah perkara yang baik dan tidak bertentangan dengan syari’at
Bahkan hadith Dha’if masih boleh digunakan dalam Faḍāil al-A’māl dengan syarat yang tertentu. Sebab kaedah ahli Usul ialah:
لا ينبغي الخروج من عادات الناس إلا في الحرام
Terjemahan: Tidak patut keluar daripada adat manusia melainkan ianya perkara ḥarām. (Ibn Muflih, 2: 43)
Sekiranya kita nak mengamalkan bacaan surah al-Kahfī pula, maka kita kena bijak berdakwah. Cadangan saya, kita bukan menukar amalan tetapi menghimpunkan amalan. Contoh selepas maghrib membaca Surah Yasīn. Selepas Isya’ membaca Surah al-Kahfī.
Atau minggu 1 dan 3 membaca Surah Yasīn dan minggu 2 dan 4 membaca Surah al-Kahfī. Saya hanya beri cadangan kerana surau di mukim saya sudah mula lakukan. Jadi ianya bukanlah suatu yang mustahil. Jika surah al-Kahfī itu berat untuk orang kampong,
mulakan dengan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Yang tak bagusnya, sembang kuat bab Sunnah, tapi tinggal semua amalan-amalan ini.
Perkara ini hanyalah pendapat peribadi sahaja. Perkara ini perlu kepada kajian yang lebih khusus dan terperinci. Kita seharusnya berlapang dada mengenai isu perbezaan pendapat yang masih ianya dibawah lingkungan masalah-masalah ijtihad.

Wallahu'alam
You can follow @KhairIthnin.
Tip: mention @twtextapp on a Twitter thread with the keyword “unroll” to get a link to it.

Latest Threads Unrolled:

By continuing to use the site, you are consenting to the use of cookies as explained in our Cookie Policy to improve your experience.