Influencer, televangelist, apa-apa jua status yang menjadikan kerja seharian membabitkan populariti dan viral… ada sesuatu yang toksik berkaitan dengan kerja berasaskan populariti ini.

Ia selalu tanpa sedar menjadikan sikap kita berubah.
Setiap kali bercakap atau menulis, kemudian percakapan dan penulisan kita diterima, kita gembira (bersyukur?). Itu mendorong kita percaya apa yang kita cakap atau tulis itu betul. Di situ kita tinggalkan satu langkah penting iaitu menyemak kembali dengan juju benarkah kita betul?
Betul bukan hanya dengan berfakta betul. Betul perlu terhasil daripada PROSES yang betul.

Rasulullah saw beri amaran,

من قال في القرآن برأيه، فقد أخطأ ولو أصاب

“barangsiapa yang bercakap tentang al-Quran berdasarkan pendapatnya semata-mata maka beliau salah, walaupun betul”
Walaupun pendapat betul, ia bukan lahir dari rahim ilmu yang betul. Di situlah bahayanya. Di situlah salahnya.

Sebab itu percakapan perlu sentiasa lahir daripada ilmu dan pembelajaran yang benar.
Jika kita ada beratus ribu pengikut, setiap yang kita perkata atau tulis mendapat sokongan. Kita tahu itu bukan datang hasil belajar, tidak rujuk apa-apa pun, intuition, lahir hanya daripada kefasihan bercakap dan menulis dek banyaknya bercakap dan menulis (aka prolifik)
Tanpa sedar kita mula ‘rasa bagus’. Ia mula menampakkan warna melalui vocabularies yang kita pakai, berubah beransur-ansur. Cara kita menjawab soalan juga mula ada elemen ‘smug', meremeh secara halus.
Lebih bahaya, kesalahan metode itu terselindung di sebalik positiviti toksik yang lunak di telinga massa walaupun di dalamnya ada racun. Semasa semuanya positif, baik, melegakan, kita mula meremehkan masalah dengan rumusan pseudosains bahawa itu hanya mainan perasaan atau fikiran
Dan di dalam masyarakat kita sendiri yang apa jua bernuansa agama adalah laku, kita terdorong menyandar secara semberono permasalahan hidup kepada konsep-konsep agama yang terbiar longgar seperti "kurang mengingati Allah", "lemah iman" dan yang seumpama dengannya.
Situasi sedemikian menjadikan kita mula berjalan setiap hari seumpama di bibir neraka. Menunggu hari untuk tergelincir, tersalah cakap, dan melakukan kesilapan yang berat.

Semasa kesilapan itu terjadi, kita berada di persimpangan berbahaya.
Jika berhenti, melangkah setapak ke belakang, bermuhasabah dan membetulkan keadaan, kita terselamat.

Jika meneruskan perjalanan tanpa bermuhasabah, bertambahlah satu lagi lapisan talbis Iblis yang menyulitkan perjalanan untuk berubah.
Belajar dan tidak pernah berasa pandai pun bahaya, boleh terheret ke daerah Impostor Syndrome. Namun tidak belajar tetapi sentiasa berasa pandai adalah bahaya yang lebih besar, khususnya di era kuasa tular hari ini.

Moga Allah jaga kita daripada perangkap hype diri sendiri
You can follow @hasrizal2020.
Tip: mention @twtextapp on a Twitter thread with the keyword “unroll” to get a link to it.

Latest Threads Unrolled:

By continuing to use the site, you are consenting to the use of cookies as explained in our Cookie Policy to improve your experience.